Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu'alaikum wbt dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah, setelah 2 kali pertemuan bersama dengan En Fairuz Mohd Rafdzi, Penolong Pendaftar UKM Kampus Kuala Lumpur, (laporan pertemuan sebelum ini boleh rujuk di sini) sekali lagi kami, MPP Mahasiswa (Nur Ili Tarmizi, MPP FSKB 3/4 dan Mariah Zakaria, MPP FFar) mengambil langkah untuk mengetahui perkembangan terbaru tentang aduan kami sebelum ini serta melaporkan isu-isu terbaru yang timbul. Pertemuan kali ini turut disertai oleh MPP FGG, Nasiha Sakina binti Ramzuzzaman. Bermulanya pertemuan ini sekitar jam 4 petang dan berakhir 6 petang pada 4 Ogos 2010. Berikut merupakan isu-isu yang kami bincangkan :-
Antara aduan-aduan yang diketengahkan pada perjumpaan yang lalu adalah air cond tidak berfungsi, meja kerusi yang kurang memuaskan dan sebagainya. Alhamdulillah tindakan telah diambil oleh pihak pentadbiran antaranya memasang penghawa dingin baru. Walaubagaimanapun, penghawa dingin ini masih di dalam tempoh percubaan. Oleh itu, kemungkinan untuk berlaku kerosakan secara tiba-tiba juga tinggi. Namun, penghawa dingin ini akan sentiasa berada dalam pantauan pihak pentadbiran. Segala kerosakan bolehlah diadu terus kepada pihak pentadbiran dan InsyaAllah akan diambil tindakan segera. Dari segi naik taraf Dewan Kuliah 3 pula (seperti yang dijanjikan pada laporan yang lepas), perbincangan masih belum dijalankan. Namun, bajet kewangan InsyaAllah telah disediakan. Penaiktarafan dewan-dewan kuliah insyaAllah bermula sesi hadapan.
ii. Kafeteria
Seperti yang dimaklumkan pada laporan yang lepas, sebuah jawatankuasa untuk memantau kafe akan ditubuhkan dan sekarang ianya telah ditubuhkan. Organisasi ini dinamakan Jawatankuasa Pemantauan Kafeteria Kampus KL dan KTSN dan telah bermesyuarat sebanyak 2 kali. Organisasi ini akan kami maklumkan kemudian. Antara langkah awal yang boleh mahasiswa/i dan kakitangan ambil ialah dengan mengisi borang Penilaian Soal Selidik Pemantauan Kafeteria dan Kampus KL. (http://www.medic.ukm.my/kafe/) Aduan dan penilaian melalui laman ini akan digunapakai oleh pihak pemantau dalam memutuskan sama ada untuk memberhentikan atau meneruskan tender syarikat tersebut. Borang penilaian ini juga akan digunakan oleh pihak kafeteria untuk melihat maklum balas pengguna dan secara tidak langsung, menaiktaraf perkhidmatan mereka. Oleh itu, kepada sesiapa yang ingin membuat aduan atau tidak puas hati, bolehlah meluahkan segalanya di borang penilaian ini.
Masalah dari segi isu pengangkutan yang disuarakan pada laporan yang lepas adalah berkenaan pengangkutan hari Sabtu dan ke PPUKM. Alhamdulillah pengangkutan pada hari Sabtu telah saya suarakan dan berikut merupakan jadual yang saya perolehi.
i)ktsn ke kampus KL : 7 - 7.30 pagi, 10-10.30 pagi dan 1-1.30 petang
ii)kampus KL ke ktsn : 11-11.30 pagi, 2-2.30 petang
Isu ATM Bank Islam juga tidak terlepas untuk kami suarakan memandangkan ini antara isu yang hangat dibicarakan. Menurut En Fairuz, Bank Islam telah bersetuju untuk memasang sebuah meisn ATM di bawah TIBE. Namun, buat masa sekarang pemasangan ATM ditangguhkan berikutan perbincangan lanjut perlu dilakukan dengan Jabatan Bendahari dan prosedur pemasangan talian oleh Telekom. Menurut surat yang ditunjukkan oleh En Fairuz kepada kami yang antaranya berbunyi
"pengesahan talian pajakan (leased line) daripada pihak syarikat telekomunikasi yang akan mengambil masa sekurang-kurangnya 6 minggu, jika tiada kesulitan dengan infrastruktur kawasan."
Secara tidak langsung, surat ini bermaksud, mesin ATM tidak akan dipasang dalam masa 6 minggu dari sekarang. Tetapi 6 minggu selepas pemasangan talian oleh syarikat telekomunikasi.
Pemasangan CCTV merupakan salah satu jalan yang terbaik untuk jangka masa panjang bagi mengatasi masalah kecurian di perpustakaan UKM KL ini. Pemasangan dan segala perkara berkaitan dengan CCTV adalah tertakluk di bawah pihak perpustakaan dan Pusat Teknologi Maklumat. Oleh itu, InsyaAllah, kami akan meneruskan usaha untuk mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak yang telah dinyatakan di masa akan datang. Perkembangan akan dilaporkan kemudian. InsyaAllah.
Perkhidmatan JARING yang menjadi isu adalah bagi pihak siswa/i yang menduduki KTSN selain KTSN 1 seperti di Plaza Rah, KTSN 4 dan KTSN 5. Siswa/i ini membayar perkhidmatan JARING di dalam yuran mereka namun tidak dapat memanfaatkan perkhidmatan ini. Perkhidmatan ini juga bukan di bawah kelolaan En Fairuz tetapi pihak PTM. Oleh itu, pertemuan selanjutnya akan kami laporkan. InsyaAllah.
Pemasangan mesin pengganti 'water cooler' dengan konsep yang lebih sihat. Hal ini disuarakan oleh MPP FGG, saudari Nasiha Sakina binti Ramzuzzaman. Ini bertujuan untuk mendapatkan air yang lebih bersih untuk pelajar. Berikutan itu, En Fairuz meminta supaya mendapatkan maklumat berkenaan dengan mesin-mesin tersebut yang telah berada di UKM Bangi sebagai langkah pertama untuk langkah susulan.
Alhamdulillah sekian sahaja laporan pertemuan kali ini. InsyaAllah perkembangan selanjutnya akan dipaparkan.
0 comments:
Post a Comment