PERUTUSAN BERSAMA AIDILFITRI 1430H

Wednesday, September 15, 2010

0 comments

PERUTUSAN BERSAMA AIDILFITRI 1430H
MPP MAHASISWA & MT GABUNGAN MAHASISWA UKM

بسم الله الرحمن الرحيم

لله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه

Pertama dan selamanya, marilah kita panjatkan rasa syukur kepada Allah S.W.T yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat kembali kepada fitrah setelah melalui fasa tarbiyyah di bulan Ramadhan. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Penyelamat Ummah, Rasulullah S.A.W yang telah menyempurnakan misi da’wah ke atas manusia agar kembali kepada fitrah mereka.

Rakan-rakan mahasiswa sekalian,

Sesungguhnya kita telah melalui fasa tarbiyyah tahunan di bulan Ramadhan yang disebut-sebut sebagai penghulu segala bulan. Selama tiga puluh (30) hari hidup ini menyaksikan pertarungan sengit antara diri yang menuntut fitrah suci dan nafsu yang menuntut agar hidup seolah tidak bertuhan. Kita percaya ramai di kalangan kita bersungguh untuk menjayakan tarbiyyah ini, namun seharusnya rasa kehambaan ini tidak bermusim. Sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W;

"اتق الله حيث ما كنت"


Maksudnya: Bertaqwalah kamu di mana sahaja kamu berada.


Rakan-rakan mahasiswa sekalian,

Ingin dipesani, bukti kejayaan tarbiyyah Ramadhaniyyah yang telah dilalui, kita tidak akan menjadi golongan Ramadhaniy yang hanya merasa dirinya hamba ketika di bulan Ramadhan sahaja. Namun malangnya selepas berlalu bulan itu, rasa hamba tersebut hilang dan kembali menjadi manusia yang lupa Penciptanya. Jadilah kita antara golongan yang komited terhadap cara hidup Islam, disebut sebagai golongan Rabbaniy. Dengan semangat berkhidmat untuk agama tidak bermusim, bahkan hidup sebagai hamba perlu diatur persembahannya untuk Allah S.W.T agar hari ini lebih baik dari hari semalam.

Jika dahulu Allah menurunkan wahyu kepada para nabi dan rasul demi peringatan untuk manusia terhadap dosa noda yang telah mereka lakukan, namun setelah ketiadaan para utusan Allah, adakah mesej peringatan tersebut terus terhenti? Umum mengetahui kini ummat manusia menghadapi pelbagai bala bencana. Sebagai tanda soal buat kita, adakah itu bukan mesej peringatan dari Allah? Pelbagai penyakit diturunkan sebagai contoh mudah, bukankah itu ‘bahasa’ Allah untuk mengingatkan kita betapa jauh kedudukan manusia umumnya dan orang-orang Islam khususnya dari kehidupan Rabbaniy acuan Nabi? Kita percaya semua di kalangan kita tahu erti bala di dalam Islam. Ia bukan sekadar bencana alam atau rencatan sistem kehidupan , sebaliknya ia adalah peringatan dari Allah atas perilaku manusia. Semakin jauh manusia dari cara hidup ajaran agama, semakin berat misi perjuangan yang perlu dipikul.


Sahabat seperjuangan GMUKM sekalian,

Apabila disebut tanggungjawab perjuangan, ia merupakan topik serius yang memerlukan perhatian yang serius kita bersama. Imam Hasan al-Banna menyebutkan di dalam karangan-karangan beliau, sesungguhnya hidup ini sifatnya berkorban bukan hanya menadah tangan dan berserah nasib. Itulah sifat pejuang dan penda’wah yang menjulang panji ketuanan agama. Mereka mempunyai daya tahan dan jati diri yang tinggi, bersedia untuk berdikari dan memberi.

Dalam pada itu golongan penda’wah juga disebut sebagai ejen penyatu ummat berdasarkan firman Allah;

واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا واذكروا نعمة الله عليكم إذ كنتم أعدآء فألف بين قلوبكم

(Surah Ali Imran 103)

Maksudnya : Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan jangan berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (di zaman jahiliyyah) berpecah belah, kemudian Allah satukan hati-hati kamu.

Sesungguhnya penyatuan hati hanya dapat dicapai dengan kesungguhan kita berpegang sepenuhnya dengan ajaran agama yang sebenar. Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) dari awal penubuhannya, sehingga kini dan dengan izin-Nya akan selamanya berusaha membawa arus gelombang mahasiswa-mahasiswi dengan acuan Islam.

Namun diingatkan bukanlah apabila dikatakan kita inginkan membawa acuan Islam, maka semua mahasiswa akan terus dipaksa menerima Islam sepenuhnya. Ingin ditekankan di sini Islam menganjurkan manusia saling bertolak ansur dan bekerjasama di samping tidak tergesa-gesa melakukan perubahan. Setiap isu di kampus atau peringkat nasional boleh kita perhalusi untuk dibincangkan. Justeru Gabungan Mahasiswa UKM mengambil sikap terbuka dalam menerima sebarang komen dan cadangan penambahbaikan daripada mana-mana pihak.

GMUKM bukanlah seperti yang digembar-gembur oleh sesetengah pihak bahawa hanya dimonopoli mahasiswa Melayu Islam, tetapi kita turut mempunyai ‘front’ bagi bukan Islam yang menuntut mahasiswa-mahasiswa bukan Islam untuk sama-sama kita memperjuangkan isu kebajikan mahasiswa kampus UKM seperti DEMA dan JKMI yang pernah suatu masa dahulu turut menggemilangkan Gabungan Mahasiswa.

Sungguhpun pelbagai tribulasi yang telah dilalui, kini kita tetap masih mampu melangkah ke hadapan membawa agenda kebajikan sejagat dengan gemblengan tenaga baru seperti daripada Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (GMLN), Membina Mahasiswa Penggerak Ummah (MAMPU), Kumpulan Aktivis Independen (KAMI) dan Angkatan Siswi Dinamis (AKSIS). Ini membuktikan kesatuan hati kita guna untuk menyahut seruan Allah melalui ayat berikutnya;

"ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر"

(Ali Imran 104)

Maksudnya : Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan menegah dari yang mungkar.


Rakan-rakan mahasiswa UKM sekalian,

Samada mahu ataupun tidak mahu, kita perlu menyedari harapan ummat terhadap golongan terpelajar seperti kita amat tinggi. Masyarakat tidak mengharap agar kita membawa balik karung emas lambang kemegahan ataupun pakaian ilmu yang si pemakainya buruk akhlak. Sebaliknya apa yang diharapkan semata-mata agar kita mampu menjadi ejen perubah masyarakat supaya kembali kepada fitrah asal kejadian manusia yang bertuhan dan sedar diri bahawa dirinya hamba.

Teman-teman mahasiswa yang dikasihi sekalian,

Di musim ini, kita ditarbiyyah oleh Allah dalam keadaan senang. Ramadhan dihampar ketenangan beribadah, juadah berbuka yang mudah diperolehi dan pelbagai. Menyambut Syawal dengan debaran gembira dapat menyucikan diri kembali kepada fitrah.

Bandingkanlah antara nasib kita dan nasib saudara-saudara kita yang ditindas. Tanah air mereka diceroboh dan hidup mereka hancur disebabkan keghairahan penguasa dunia yang lagaknya seperti tuhan. Bumi tertindas Palestin, Chechnya, Afghanistan serta Gaza dan banyak lagi bumi umat Islam tertindas yang belum diperhati dunia. Jadikanlah memori hidup mereka sebagai memori hidup kita.

Tarbiyah Ramadhan mengajar kita untuk mengingati saudara-saudara kita di sana. Janganlah kita hanya sekadar ditarbiyah tetapi kesedaran itu masih belum timbul. Lakukanlah tindakan yang membuktiukan bahawa kita menyedari akan keadaan tersebut. Sebagai membuktikan kesungguhan, GMUKM dengan tanggungjawab kebajikan atas nama Islam sehingga kini meneruskan usaha membantu mereka semampu mungkin. tulah kekuatan yang ada hasil daripada kesatuan hati yang kita pupuk selama ini.

Ber-GM Lebih Baik! Semoga slogan ini akan terus kita jayakan di setiap peringkat kerana kita adalah GMUKM. Tiada yang mustahil untuk kita capai sekiranya kita bersatu mengembleng tenaga. Sempena hari lebaran ini sama-samalah kita mengenang nasib ummat Islam yang tertindas, moga-moga dengan kesedaran tersebut meledakkan semangat kita agar terus istiqamah dalam jalan da’wah ini demi melihat kalimah LAILAHAILLAH tertegak dan dijulang tinggi.


Salam Syawal 1431H,

Siru ala barakatillah…

Perutusan Bersama MT & MPP Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM)

Pengerusi GMUKM : Mohd Hafiz Bin Abd. Razak
Presiden MAMPU : Ahmad Firdaus Bin Ahmad Azam
Presiden KAMI : Muhammad Hilman Bin Idham
Presiden GMLN : Mohd Fadhlan Bin Sugiman
Presiden AKSIS : Nabilah Binti Mohd Maiyidin

MPP Umum -
Muhamad Faiz b Ismail
Muhammad Syafiq b Abdul Aziz
Nabilah bt Mohamad Maiyidin
Alia Suzana bt Asri

MPP Fakulti -
FUU : Ou Yong Koh Beng
FFar : Mariah bt Zakaria
FPer 1/2 : Nasiha bt Omar
FPer 3/4/5 : Farih Najihah bt Hashim
FPI 1/2 : Mohd Zaim Juwaidi b Jamaluddin
FPI 3 : Nik Ahmad Syafie b Raja Daud
FPend 1/2 : Wan Ahmad Fahmi b Wan Abdul Hamid
FPend 3/4 : Khairul Anuar b Mat Lazim
FKAB 3/4 : Sarzliana bt Soaidin
FSKB 3/4 : Nur Ili bt Mohamad Tarmizi

Busana Muslimah: Di mana Islamnya?

Wednesday, September 1, 2010

0 comments
artikel dari http://saifulislam.com/?p=8510

Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)?

Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing?

Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang berada di dalam arus perdana. Sesuatu yang jarang dilihat sebagai ‘ajaran sesat’, tetapi cukup banyak memesongkan manusia daripada landasan hidayah.
Itulah BUSANA MUSLIMAH.

LANDSKAP 1990′AN

“Mak Fatih di Turki, purdahnya bukan sehelai kain tambahan yang menutup muka. Tetapi tudung yang dipakai, digenggam dengan tangan di bahagian hidung. Semua perempuan pakai seluar besar,” saya berbual dengan ibu tentang cara berpakaian wanita Anatolia yang saya lihat.

“Nak kenal mahasiswi Turki senang sahaja. Ramai di kalangan mereka suka memakai tudung dengan sanggul tinggi,” saya bersembang dengan rakan-rakan di Jordan.

“Bukan sanggul tinggi itu, bonggol unta yang Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam laknat dalam hadith tu ke?” tanya rakan saya.

“Betul dah tu. Tak apa, kita buang sanggul tu, kita ambil tudungnya sahaja. Buat hadiah. Bukan senang nak dapat tudung sutera Turki di Malaysia” saya menokok perbincangan.

Kelana saya ke pelbagai negara umat Islam di era 90′an, memperkenalkan saya kepada pelbagai bentuk pakaian yang disesuaikan dengan budaya, persekitaran dan keperluan, namun masih mengekalkan prinsip-prinsip asas berpakaian menurut Islam. Pelbagai bentuk seluar, abaya, tudung, malah pelbagai bentuk niqab, kesemuanya membentuk satu kesediaan pada diri saya untuk lebih dinamik dalam mendefinisikan apa itu fesyen dan seluas manakah ruang yang disediakan oleh Islam untuk ia berkembang.

Ketika itu, segala-galanya masih asing daripada masyarakat kita.
Baju kurung, masih kekal dengan potongan baju kurung yang biasa.
Tudung juga tidak banyak jenis.
Malah berpurdah masih asing dan pantas dikaitkan dengan Jemaah al-Arqam.
Saya juga boleh rancak bercerita tentang pengalaman saya di negara Arab kerana jarang-jarang sekali muka Arab ditemui di jalanan ibu kota negara. Malah Malaysia hampir-hampir tidak termasuk di dalam destinasi pelancongan warga negara Arab yang ketika itu masih berkiblatkan Eropah untuk percutian mereka.


LANDSKAP SEMASA
Hari ini, komunikasi, teknologi maklumat dan mobilisasi manusia mengalami perubahan yang besar. Globalisasi menghimpunkan manusia yang pelbagai di sebuah perkampungan antarabangsa. Masyarakat kita semakin terdedah dengan pelbagai bentuk budaya dan ekspresi diri termasuklah fesyen. Pelbagai idea datang untuk mengembangkan cara berpakaian kita, khususnya untuk wanita Muslimah.
Industri fesyen semasa berkembang maju. Ia sesuatu yang boleh dihargai pada sudut-sudut positifnya.
Baguslah begitu.
Dahulu kala, wanita yang berhijrah itu mendefinisikan HIJRAH bukan sekadar pada memakai tudung, tetapi terus kepada mengubah keseluruhan penampilan diri dan gaya hidup. Imej perubahan diri Hajjah Wan Chik Daud, Siti Fairuz, Rahimah Rahim juga Noorkumalasari, memperlihatkan hijrah itu benar-benar suatu hijrah.
Namun kini, dengan perkembangan fesyen yang begitu dinamik, HIJRAH boleh berlaku dalam format yang lebih mudah. Ia tidak menjadi satu revolusi ke atas diri, namun sekadar mengenakan tudung atau meletakkan sesuatu di atas kepala yang dianggap sebagai simbol perubahan diri. Semakin lama, ia semakin berkembang. Malah perkembangan fesyen alternatif ini sudah sampai kepada berjaya menganjurkan pertunjukan fesyen di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa. Antaranya adalah Fashion Show Busana Muslim 2010 di MIDF HALL, di ibu kota Kuala Lumpur tidak lama dulu.
Versi DUBAI!


PENTAKRIFAN

“…Dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu…” [al-Ahzaab 33: 33]

Sejauh manakah pakaian itu boleh diterima sebagai Busana Muslimah?
Bagaimana dengan batas-batas Aurat?
Bagaimana dengan sifat bersederhana dan MALU yang menjadi tunjang ekspresi diri pada berpakaian itu?
Perkembangan semasa, memperlihatkan, apa yang dilabelkan sebagai Busana Muslimah itu, bukan lagi sekadar Tabarruj Jahiliah malah sudah menjadi al-Kaasiaat al-‘Aariyaat seperti yang diungkapkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang bermaksud SEPARUH TELANJANG, atau BERPAKAIAN TAPI BERTELANJANG.


Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Dua kelompok daripada penghuni Neraka yang aku tidak pernah melihatnya (semasa hidupku): Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu dan mereka melibas-libas orang dengannya. Yang kedua adalah wanita yang akan telanjang walaupun mereka sedang berpakaian, perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya seumpama bonggol unta. Dan perempuan yang sebegini keadaannya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. “[Hadith riwayat Muslim]

Fesyen yang membiarkan leher keluar, telinga keluar, dada terdedah, jenis kain lembut yang rapat membalut tubuh dengan bentuk yang menonjol, semua itu diterima sebagai sebahagian daripada kriteria BUSANA MUSLIMAH. Malah tahun 2010 menyaksikan berleluasanya pemakaian tudung dengan bonggol yang sangat menonjol di bahagian atas kepala, sama ada oleh rambut sendiri yang panjang, atau dengan sanggul palsu yang dijual di kedai HIJAB?
Sekadar meletakkan sesuatu di atas kepala, atau melabuhkan top hingga ke bawah ala-ala jubah atau abaya, jadilah ia BUSANA MUSLIMAH!
Di manakah Islamnya?
Pakaian ini diberikan kepada artis-artis yang mungkin di hatinya memang mahu membuat perubahan diri. Saya tidak berada di posisi untuk menilai niat di hati sesama insan. Tetapi niat yang baik itu ditemukan dengan solusi yang sangat jauh daripada Islam. Apatah lagi, dengan status pemakainya sebagai ikon masyarakat (jika masih mahu mengikonkan artis), ia menjadi ikutan. Lalu berleluasalah segalanya.
Tidak sampai ke suku ketiga tahun 2010, penyelewengan cara berpakaian menurut Islam semakin menjadi-jadi.
Jika kalian yang tidak pernah bertudung, mula bertudung dengan fesyen sebegini, mungkin sukar untuk menghayati perubahannya. Namun bagi kalian yang dahulunya berpakaian secara sederhana tetapi mula memperagakan fesyen seperti ini, tanyalah secara jujur ke dalam hati, adakah kalian semakin malu di hadapan Allah atau semakin berani dan bijak mencipta justifikasi?
Islam menyediakan ruang yang secukupnya untuk seorang wanita Muslimah dan lelaki Muslim yang belum menutup aurat untuk segera mencari kekuatan berbuat demikian. Tetapi menyambut kejayaan membuat perubahan dengan menghantar mereka ke daerah Busana Muslimah yang sangat bercanggah dengan Islam ini, ia adalah suatu kesesiaan yang mengundang penyesalan.


BEBAS
“Inilah kata-kata orang agama. Semua salah” ulasan yang muncul.
“Semua itu hanya Male Chauvinism. Semua perbuatan orang perempuan mahu dikawalnya” tegas seorang yang lain.
Sesungguhnya kata-kata seperti itu sangat jauh dari kalam terbitan IMAN.
Islam memuliakan kaum lelaki dan perempuan, pada TAQWA, iaitu kualiti diri berkaitan dengan ilmu, bakat, Akhlaq, keupayaan diri dan jauh sekali daripada memperhambakan diri kepada mengejar usaha mengisi makna CANTIK yang tidak pernah berakhir itu. Sesungguhnya CANTIK itu adalah satu bentuk perhambaan wanita yang menyeronokkan (lagi menguntungkan).

Jika demikianlah komen-komen yang timbul tatkala saranan ini datang, KETAHUILAH ANDA SEMEMANGNYA BEBAS BERPAKAIAN SESUKA HATI ANDA DAN KITA TIDAK AKAN MENGGANGGU KEBEBASAN INDIVIDU YANG DIBANGGAKAN ITU. NAMUN SEBAIK SAHAJA PAKAIAN JELEK ITU KALIAN NISBAHKAN KEPADA ISLAM, KAMI BANGKIT MENENTANGNYA.KAMI CEMBURU DENGAN AGAMA KAMI.

BUSANA MUSLIMAH yang tidak mematuhi Islam seperti itu adalah penghinaan kepada Syariat Allah.

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzaab 33: 36]

SYUKRAN