
MPP Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) mengucapkan  'Selamat menyambut Tahun Baru Hijrah' atau lebih kita kenali sebagai Awal  Muharram 1432H. Dengan tema '1Malaysia 1Ummah' apa yang boleh diharapkan kepada  ummah hari ini khususnya di Malaysia adalah sama-sama kita berusaha menjadikan  tahun baru ini lebih baik dari tahun lalu. Jadikan ia satu permulaan untuk ke  jalan kebaikan dan meninggalkan segala kemungkaran. Ambillah ibrah hijrah yang  sebenar seperti hijrah nabi kita yang kita sayangi Nabi Muhammad SAW.  Amin.
 Sesungguhnya, kesan langsung peristiwa hijrah  pada zaman Nabi Muhammad SAW ialah menyelamatkan umat Islam daripada tekanan dan  siksaan orang kafir Mekah. Itu semua sudah maklum. Namun hikmah yang lebih besar  ialah Rasulullah SAW berjaya membangunkan ummah yang semakin kuat dan hebat;  sebelum diteruskan lagi selepas kewafatannya oleh para sahabat, dan diperluaskan  di zaman pemerintahan Ummaiyah dan Abbasiah. 
 Justeru perlu diambil iktibar, biarpun baginda  SAW dan para sahabat tertekan berada di bawah kezaliman kaum kuffar di tanah air  sendiri, maka baginda SAW berstrategi bergerak ke negeri lain, menyusun langkah  kembali dan sesudah berjaya membina kekuatan anggota yang diperlukan; tanpa  melupakan peranan kebergantungan kepada Ilahi, yang akhirnya baginda SAW dan  para sahabat berjaya membuka kembali tanah air yang dicintai iaitu Makkatul  Mukarammah tanpa menumpah setitis darah pun.
 Ini sekadar pesanan buat teman-teman,  rakan-rakan seperjuangan gerakan di luar sana. Tidak kisah apa dasar gerakan  kita sama ada gerakan mahasiswa, gerakan agama, gerakan politik mahupun apa-apa  gerakan; serta atau apa posisi kita di dalam gerakan tersebut. Perlu diambil  ibrahnya bahawa inilah yang dimaksudkan strategi. Apa yang sebenarnya kita boleh  ambil pengajaran ringkas daripada hijrah baginda SAW dan para sahabat;
 (i) kadang-kala kita terlalu tertumpu kepada  pembinaan kekuatan fizikal sehingga kita terlupa kepada pembinaan kerohanian.  Harus dingatkan sengaja Tuhan lambatkan kemenangan kita semata-mata ingin  melihat kita insaf dan akhirnya melutut kembali bertaubat dan bertawakkal  kepada-Nya. Dan setelah kemenangan dicapai, jangan lupakan-Nya. Sentiasa  ingati-Nya kerana Dia lah Pemegang segala-galanya; Pemilik sekalian alam,  terdahulu, kini dan selamanya.
 (ii) tinggikan syiar Islam daripada yang lain.  Kedapatan hari ini gerakan terlalu menumpukan kerja-kerja politik (tidak kira  dilabelnya 'politik nilai' , 'politik kebajikan' hatta 'politik demokrasi  tulen') , sehingga kita terlupa hakikat dan falsafah sebenar perjuangan yang  kita laungkan. Lupakah kita kepada ayat Al-Quran; "Barangsiapa membantu  agama Allah pasti Allah akan membantu kalian "
 (iii) fokus dalam meletakkan, menunai dan  melunaskan kembali segala visi, misi dan objektif serta janji-janji dalam  manifesto terdahulu. Kedapatan ahli gerakan hari ini yang semakin lupa dengan  asas dan dasar gerakan mereka sendiri. Sekadar pesanan buat semua ahli gerakan  khususnya gerakan mahasiswa hari ini; bukan sekadar di UKM tetapi seluruh IPTA  dan IPTS, jangan lupa atau buat-buat lupa akan segala benda asas dan dasar ini  semua kerana dikhuatiri teman-teman yang selama ini meletakkan kepercayaan  kepada kita akhirnya akan berpaling setelah kita sendiri khianati asas dan dasar  yang dilaung-laungkan selama ini. Dan usah dikenang jika mereka pergi jauh  daripada kita kerana kita dahulu yang jauh daripada dasar gerakan kita  sendiri.
 Justeru adalah lebih baik kini kita membuka  mata seluas-luasnya meletakkan asas dan dasar yang jelas mengenai apa sebenarnya  yang boleh kita lakukan selaku ahli gerakan. Tidak kisah di mana posisi gerakan  kita dan posisi kita di dalam gerakan tersebut,apa yang lebih penting marilah  sama-sama kita memainkan peranan yang membina dan terus membina di samping kita  mengekalkan keimanan, nilai kerohanian dan persaudaraan sejati, kita memainkan  peranan menyumbang secara positif kepada pembangunan manusia, sekali gus  memakmurkan bumi Allah ini. Bukankah itu tujuan kita dijadikan ?
 Akhir kalam, sama-samalah kita berdoa semoga  tahun Hijrah yang sudah berlalu memberikan kita pengajarannya untuk menempa  kekuatan di tahun yang baru pula, dan semoga kita sentiasa diberkati Allah dan  diberi petunjuk dalam melaksanakan perintahnya dan meninggalkan  larangannya.
 "Ya Allah,  Engkaulah Yang Kekal, Yang Qadim lagi Azali dan di atas kelebihan Engkau Yang  Besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang sesungguhnya  telah mendatangi kami; kami memohon kepada Engkau pemeliharaan padanya daripada  syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan kami  memohon pertolongan dari nafsu yang banyak mendorong kepada kejahatan dan kami  memohon kepada-Mu untuk melakukan sebarang pekerjaan yang boleh mendekatkan diri  kami kepada-Mu.
 Ya Allah,  Tuhan yang merubah segala keadaan, ubahlah keadaan kami kepada sebaik-baik  keadaan dengan kekuasaan dan kurnian-Mu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha  Penyayang. Moga-moga Allah S.W.T mencucuri rahmat dan sejahtera kepada junjungan  kami Nabi Muhammad, ahli keluarga dan sahabat-sahabat sekalian.  
 Ya Allah,  Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta  hindarilah kami dari azab api neraka. Amin." 

0 comments:
Post a Comment