Green Lung Team UKM, Pendedahan Baru Masyarakat Bebas Merokok

Wednesday, May 26, 2010

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, segala puji atas nikmat dan kurniaNya, Fakulti Farmasi boleh melangkah setapak lebih jauh lagi dengan tertubuhnya persatuan Green Lung Team UKM. Berikut merupakan sedikit sebanyak latar belakang penubuhan Green Lung Team UKM.



Di Malaysia terdapat lebih kurang 10,000 kematian setiap tahun yang berhubungkait dengan amalan merokok. Satu daripada setiap 4 orang dewasa di negara ini adalah perokok. Lebih membimbangkan lagi, pakar kesihatan menganggarkan bahawa setiap hari seramai 50 orang remaja di Malaysia memulakan tabiat merokok.



Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah ini Green Lung Team UKM ditubuhkan. Green Lung Team UKM merupakan kumpulan yang baru diwujudkan dalam Persatuan Mahasiswa Fakulti Farmasi (PMFFAR). Kumpulan ini diasaskan oleh pelajar Fakuliti Farmasi dan turut menggabungkan wakil pelajar dari fakulti- fakulti lain seperti Fakulti Perubatan, Pergigian dan Sains Kesihatan Bersekutu. Green Lung Team UKM juga dalam proses menjalinkan usahasama bersama pelajar dari fakulti- fakulti yang terdapat di Kampus Bangi, UKM. Kumpulan ini ditubuhkan selepas seramai empat orang pelajar farmasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia berpeluang menyertai Capacity Building Workshop: Creating Tobacco Control Youth Leaders among Undergraduate Students in Malaysian Universities anjuran Pusat Racun Negara (PRN) dan Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama World Health Organization (WHO). Berbekalkan ilmu dan pendedahan yang diperolehi, keempat- empat wakil pelajar ini mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah kumpulan yang mampu memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang pentingnya pengawalan tembakau dan rokok yang diberi nama Tobacco Control Team seterusnya ditukarkan kepada Green Lung Team UKM. PRN adalah antara badan yang bertanggungjawab memberi ilham dalam penghasilan kumpulan ini yang bukan sahaja di tubuhkan di UKM tetapi sudah lama bertapak di universiti- universiti lain iaitu UM, USM, UIA serta UiTM.


Green Lung Team UKM memulakan langkah pertama dengan menganjurkan Bengkel Pengawalan Tembakau dengan kerjasama dari PRN di Kolej Tun Syed Nasir dan memperoleh jumlah penyertaan di luar jangkaan. Kumpulan ini meneruskan usaha dengan mengadakan pameran ketika Hari Konvokesyen UKM dan sewaktu program Festival 1 Malaysia anjuran Jawatankuasa Mahasiswa/i (JAKSA) Kolej Tun Syed Nasir. Baru- baru ini juga kami juga berjaya mendapatkan suara dari Fakulti Pergigian, Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, di mana setiap fakulti tersebut menghantar wakil untuk menyertai Green Lung Team UKM.


Kini, kami ingin maju setapak lagi kehadapan dan seterusnya meletakkan UKM sebaris dengan universiti terulung di Malaysia dan dunia. Seiring dengan kejayaan UKM yang telah mencapai umurnya yang ke 40 tahun, kami ingin menjadikan tarikh 31 Mei 2010 sebagai Hari Bebas Merokok di seluruh kawasan universiti. (Rujuk post seterusnya)


Sehubungan itu, kami ingin menyeru agar seluruh warga UKM menyokong usaha ini. Kami yakin dan percaya ini adalah salah satu langkah terbaik dalam membangkitkan semula usaha menghapuskan kegiatan merokok di kawasan universiti dan seterusnya mewujudkan budaya yang sihat dan bersih serta bertanggungjawab terhadap alam sekitar.








InsyaAllah di atas merupakan serba sedikit latar belakang sebuah kelab yang berusaha dalam mendidik dan melahirkan masyarakat sihat yang bebas merokok. Kepada sesiapa yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut aktiviti dan perkara-perkara terkini yang dijalankan oleh kelab ini, bolehlah melayari http://www.facebook.com/pages/Green-Lung/116462678499 . Sehubungan itu, saya ingin menyeru kepada sesiapa yang membaca post ini umumya dan pelajar Fakulti Farmasi UKM khusunya, untuk sama-sama menyokong sepenuhnya usaha rakan-rakan kita dalam berbakti kepada masyarakat dan dalam masa yang sama menaiktarafkan Fakulti yang kita sayangi ini ke peringkat dan persada yang lebih jauh lagi. InsyaAllah.

Wallahua'lam

0 comments:

SYUKRAN