Perutusan Sulung yang Terlambat Dipaparkan

Saturday, March 13, 2010

Assalamualaikum w.b.t. dan salam mahasiswa
Alhamdulillah, segala puji bagi Tuhan sekalian alam kerana kita masih diberi nikmat usia dan masa untuk terus hidup di dalam dunia yang fana ini untuk mencari keredhaanNya. Kesyukuran yang tidak terhingga juga saya panjatkan kepada Ilahi, kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, saya terpilih untuk menerajui tampuk pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar bagi Fakulti Farmasi sesi 2009/10. Tidak lupa juga buat sahabat-sahabat yang tidak putus-putus memberi kata-kata semangat, dorongan dan panduan agar saya terus tabah dan sabar menempuh minggu yang paling mencabar buat saya.

Mahasiswa/i yang dihormati sekalian,
Menitisnya air mata seorang pemimpin itu apabila diberi kepercayaan dan amanah bukan kerana dirinya lemah, tetapi kerana besarnya kepercayaan dan tangungjawab yang diberikan untuk dipenuhi dan dilaksanakan penuh amanah dan taqwa.

Sahabat-sahabat yang saya kasihi,
Meniti kehidupan sebagai seorang pemimpin adalah amanah yang berat untuk ditanggung. Namun, saya percaya setiap teguran dan tunjuk ajar dari sahabat-sahabat sekalian dapat saya jadikan panduan untuk saya menjadi pemimpin yang lebih adil dan berfikiran jauh dalam memimpin. Oleh itu, saya mohon sahabat-sahabat untuk berterus-terang dan menegur saya andai saya ada tersilap kata ataupun cara .

Ke arah mahasiswa profesionalisme unggul menjadi misi utama saya. Sebagai bakal ahli farmasi, kita memang tidak dinafikan amat memerlukan etika-etika sebagai seorang profesional. Hal ini kerana di dunia luar dari kampus nanti, cara berpakaian, etika berkomunikasi dan gerak langkah kita akan diperhatikan oleh masyarakat dan akan dijadikan buah bicara untuk dianalisa sejauh mana kredibiliti kita sebagai seorang ahli farmasi yang unggul. Ini adalah penting untuk menambah kepercayaan masyarakat terhadap ahli farmasi. Dengan kata lain, kemahiran insaniah adalah amat penting untuk dipupuk dalam diri setiap mahasiswa agar apabila segulung ijazah di tangan, pengalaman berguna juga tersemat di fikiran.

Akademik juga tidak dinafikan penting buat mahasiswa/i. Akademik akan menjadi kayu ukur utama dalam menentukan tahap seorang mahasiswa itu walaupun kebergantungan sepenuhnya pada kayu ukur ini sering dipertikaikan. Namun begitu, azam dan cita-cita saya untuk menjadikan Fakulti Farmasi sebagai fakulti yang terkehadapan dalam bidang akademik tidak akan terlaksana tanpa bantuan rakan-rakan sekalian. Dengan ini, saya ingin menyeru rakan-rakan sekalian, untuk berusaha bersama-sama dengan saya dengan lebih bersungguh-sungguh dalam usaha menjadikan Fakulti Farmasi sebuah fakulti yang dapat berdiri sama tegak dan duduk sama rendah dengan fakulti lain walau usianya masih muda.



Mahasiswa/I yang dihormati,
Memahami keperluan mahasiswa/i yang menginginkan seseorang untuk menjaga kebajikan dan segala keperluan kalian, dengan itu saya akan bertindak sebagai orang tengah yang akan menyalurkan suara-suara mahasiswa untuk dibawa ke pihak atasan agar masalah-masalah dapat diselesaikan.

Selain itu, saya juga akan berusaha untuk meningkatkan hubungan antara 3 pihak, iaitu pihak pentadbiran Fakulti Farmasi UKM, Persatuan Mahasiswa Fakulti Farmasi UKM, dan persatuan-persatuan farmasi di luar UKM, misalannya MPS, MyPSA, persatuan-persatuan farmasi universiti lain dan sebagainya. Dengan hubungan kerjasama ini, saya yakin Fakulti Farmasi UKM akan dapat maju dengan lebih jauh. InsyaAllah.
Akhir kalam dari saya, suka untuk saya memetik hadith Nabi S.A.W. yang berbunyi,
“Tidak akan bergeser kedua kaki anak Adam pada Hari Kiamat hingga dia ditanya usianya untuk apa di habiskan, tentang ilmunya apa yang telah ia amalkan, tentang hartanya kemana ia belanjakan tentang tubuhnya untuk apa ia gunakan..” (Hadith Riwayat At-Tirmidzi).

Sekian,
Wassalamualaikum w.b.t.
“ KEARAH MAHASISWA PROFESIONALISME UNGGUL “


p/s:maaf lambat post. disebabkan masalah membuat blog dan juga kesempitan masa.seribu kemaafan dipohonkan

0 comments:

SYUKRAN