Isu Penempatan Pelajar di KTSN

Tuesday, April 6, 2010

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

Setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kepada ilahi atas nikmat dan kurniaNya kita masih mampu untuk hidup dalam keadaan aman dan selamat sedangkan saudara kita di Palestin saban hari bertarung dengan nyawa mereka. Tidak lupa juga kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan keluarga serta sahabat baginda.

Berkenaan aduan tempat tinggal di KTSN baru-baru ini, saya telah mendapat banyak aduan dari pelajar Farmasi. Sebagai tindakan lanjut, saya telah berjumpa dengan En Noor Alaudin bin Abd Wahab, Timbalan Pengetua 1, Kolej Tun Syed Nasir pada 5 April 2010, jam 10.30 malam di pejabat KTSN. Turut ditemani oleh sahabat MPP saya, Nasiha binti Omar, MPP FPER 1/2.

Di kesempatan ini , beberapa persoalan telah saya kemukakan. Antaranya ialah cara pengagihan pelajar di Kolej. Cara pengagihan adalah sama seperti yang telah saya kemukakan di post saya Kebajikan Mahasiswa/i Keutamaan Kami. Kuota yang ditetapkan untuk tinggal di kTSN 1 adalah 70% pelajar FSKB, 10% pelajar Farmasi, 10% pelajar Pergigian dan 10% pelajar Perubatan. Dan untuk memilih kemasukan adalah berdasarkan merit. Pelajar yang mempunyai merit tinggi adalah yang lebih berhak untuk tinggal di sini. Merit minimum bagi wanita adalah lebih tinggi berbanding merit lelaki. Namun, nilai sebenar saya tidak pasti (En Alau tidak membawa lap top bersama dengannya). Tetapi sekiranya ada pelajar yang meritnya tinggi namun mendapat kolej luar, bolehlah maklumkan kepada saya.

Saya juga telah mengemukakan cadangan kepada En Alaudin untuk meningkatkan jumlah kuota pelajar Farmasi kepada 15% di masa akan datang. Cadangan ini tidak ditolak sepenuhnya oleh En Alaudin, namun, beliau mengatakan perkara ini tidak akan ada kesudahnnya. Pada sesi lepas, kuota 20% Farmasi, 20% Perubatan, 20% Pergigian dan 40% FSKB juga mendapt pelbagai persoalan. Mengapa yang 20% tidak dinaikkan kepada 30%, mengapa pelajar FSKB hanya 40% dan lain-lain. Setelah diubah tahun ini, masalah yang serupa tetap berlaku. Oleh itu, di sini saya ingin menyeru sahabat-sahabat agar menerima apa yang telah ditetapkan oleh kolej dengan hati yang terbuka. Mereka semestinya sebelum menetapkan sesuatu keputusan, mereka telah bermusyawarah dan telah menimbang baik dan buruk keputusan itu semasak-masaknya.

Persoalan buat pelajar yang ingin menukar bilik sesama sendiri dan mereka yang ingin membuat rayuan penukaran tempat tinggal juga telah saya kemukakan kepada En Alaudin. Namun, beliau meminta saya untuk merujuk kepada Dr Ruzita mengenai hal ini. Setelah perkara ini saya rujuk kepada Dr Ruzita, beliau memaklumkan bahawa pelajar tidak dibenarkan menukar bilik sesama sendiri. Ini kerana terdapat pelajar menyewakan bilik mereka kepada sahabat-sahabat mereka yang terdesak inginkan tempat tinggal di kolej. Kesalahan ini sangat besar kerana kemudahan yang disediakan oleh Universiti TIADA sesiapa berhak untuk mengambil keuntungan darinya. Berkenaan rayuan, pelajar sudah boleh membuat rayuan pada hari ini. Borang boleh diambil di pejabat pada hari ini. Borang hendaklah disertakan bersama-sama dengan surat tunjuk sebab. Namun, beliau tidak memberi janji bahawa setiap rayuan dapat dipenuhi kerana ia tertakluk kepada kekosongan

Akhir kalam, isu kolej ini tidak semuanya dapat diselesaikan dengan mudah. Pihak kolej telah membuat yang terbaik untuk bertindak seadil mungkin. Oleh itu, saya menyeru sahabat-sahabat agar sama-sama menerima setiap apa yang Allah tentukan dengan hati yang terbuka. kerana, mungkin apa yang kita suka itu tidak baik untuk kita bahkan yang kita benci itulah yang terbaik untuk kita. Allah Maha Mangetahui. Dia tidak akan menyia-nyiakan setiap permintaan hambaNya. Andai Dia telah menetapkan sesuatu, marilah kita sama-sama menerimanya walaupun pahit. Dia beri apa yang kita perlu. Bukan apa yang kita mahu.

Sekian,
Wassalam

p/s sekiranya masih ada aduan bolehlah berhubung dengan saya, 013-2649589. Syukran

0 comments:

SYUKRAN